25 February 2013

Tersedar


Sudah lama menyepi, melarikan diri dari menzahirkan emosi di alam maya. Terkadang terbit rasa rindu, ingin sekali membiarkan jari jemari menari - nari meluahkan isi hati, tapi dikekang dihalang penjaga waras yang masih berbaki. Dan hilang rasa hati itu pergi..

Entah mengapa dan di mana silapnya. Aku buntu, dan pantas saja ia bersatu dengan sendu. Cuba - cuba mencari kepercayaan yang diberi, hakikatnya hati sudah mati untuk mempercayai, setelah sekian kali penipuan jua yang dihadap kepada diri ini. Apa salahnya aku? Berkali - kali ku laung, bergema - gema di segenap penjuru minda dan hati, namun suara sendu itu mati tidak lagi didengari. Entah untuk yang ke berapa juta kali juga aku bertanya kepada diri sendiri, kenapa harus aku yang dibodohi?

Kini, izinkan aku meluahkan sedikit rasa yang terpendam di hati...

Kawan. 

Menjadi seorang yang terpaling berwaspada mendorong aku berjaga - jaga dalam bercerita, kerna hanya yang pernah merasa sakitnya hati terluka dek tikaman seorang teman sahaja yang mampu berkongsi rasa yang sama. Tapi entah bagaimana aku tergelincir semula, dan pantas saja hati berbunga menyangka aku sudah jumpa tempat untuk bercerita. Percaya, dan terus percaya kau mungkin memahami derita di sebalik jiwa yang nampak bahagia. Rupanya semuanya tipu belaka. Segala yang indah-indah hanyalah mainan mata, dan kau mungkin berdekah - dekah mempersenda cerita-cerita yang dianggap dusta.



JUJUR. Satu perkataan yang engkau tiada. Jawapan yang kau berikan semua bermuka - muka dan bersimpang siur mendabik dada. Susahkah untuk berhati suci dan berkata benar? Bukankah kita kawan kita teman? Apa kau menganggap hubungan yang dibina hanya picisan tak bermakna? Apa ingin kau campak kau buang suatu yang bermakna ke tepi ibarat sampah tak berharga? Atau kau malu untuk mengaku yang sebenarnya kepadaku? Rasa Inferiorkah kamu? Bertalu - talu pertanyaan menghentak keras mindaku, hanya demi seorang yang bernama kamu.

Terkadang aku merasa, akulah punca segala. Mungkin hatiku yang bernanah busuk, mungkin mindaku yang celaru, mungkin aku yang terkeliru. Ah..mungkin semua ini mainan perasaan hati, mungkin apa yang ku rasakan benar hanya ganguan emosi diri. Mungkin mungkin dan mungkin.. Semua yang negatif ku sandarkan kepada diri sendiri, demi menjaga ikatan suci persahabatan.



Namun kini nafas sudah sesak, jiwa sudah lelah, dan hati terlebih gundah. Aku penat dengan mainan dunia yang kau cuba ciptakan. Aku penat menjadi watak antagonis dalam drama - drama ciptaan kau. Biarlah aku membawa diri, biarlah tangisku mati sendiri, aku pasrah, kerna semua ini tak mungkin dapat ku teruskan lagi..

Cuma satu pesanku teman, jangan sampai saki baki sakit hatiku bertukar menjadi benci

ps: Maaf untuk entri penuh emosi, entahkan ada tidak yang masih sudi membaca tarian jari ini. Mungkin aku patut jadi penulis carpen di sini? *tetibe*

-Sayonara kawan-




1 comment:

Anonymous said...

Salam. Ed..sedih jugak baca entri ni..Ko okey ke ed? Kalau sepanjang kite berkawan, ak ada skiti hati ko ke, terkasar bahasa ke, maaf ed.. Aku xberniat. Btw, terima kasih jadi sahabat yg baik and pendengar yg setia.