24 April 2013

Peminta Cilik yang terluka

Malam yang sunyi mengingatkan aku pengalaman lalu, tatkala menikmati makan tengah hari di KFC, tiba-tiba outlet itu didatangi seorang anak lelaki. Masih muda. Masih di peringkat sekolah menengah aku kira. Duduk di muka pintu, meminta simpati pelanggan yang datang berderu-deru. Dari riak wajahnya seperti ada kisah tak terungkapkan. Dia setia menunggu ihsan dari sesiapa sahaja yang lalu. Tak jemu dia cuba meminta walau sedikit sahaja yang cakna tentangnya.

Melihat keadaannya, pantas sahaja fikiranku mengimbas kejadian beberapa tahun yang lalu. Waktu itu, aku menemani mama ke bank untuk mengeluarkan duit. Setibanya kami di sana, kelihatan susuk tubuh kanak-kanak perempuan, diam berdiri di depan bank seolah-olah mencari sesuatu. Ada tabung di tangannya. "Oh, mungkin dia ingin meminta sedekah" bisik hati kecilku. Namun yang menghairankan aku adalah sikapnya yang tetap kaku di situ, mukanya hanya memandang lantai tanpa meminta sebarang derma dari manusia yang tidak putus-putus melalui kawasan itu. Hanya ada beberapa manusia cakna yang memberikan dia wang, selebihnya hanya berlalu seolah-olah dia tidak wujud di situ. Simpati sungguh aku padanya. Ku tenung wajahnya dalam-dalam. Sugul, ada sendu dan pilu. Aku khabarkan keadaan dia kepada mama. Kami hampiri dia, dan bertanya seandainya dia sudah makan. Belum katanya. Mama mempelawa dia untuk makan tetapi dia menolak. Mungkin malu, mungkin juga kerana dia tidak mahu dikatakan mengambil kesempatan. Kami serahkan padanya sedikit wang sebagai bantuan. Sebelum berlalu kami ingatkan dia agar makan.

Di dalam kereta, mama memulakan cerita mengenai pengalaman dia bersama salah seorang peminta sedekah cilik. Waktu itu, mama mempelawa dia makan kerana mama terlalu simpati melihat keadaan dia. Pantas sahaja dia setuju. Cerita mama lagi, dari gayanya makan seolah-olah dia terlalu lapar, seolah-olah sudah beberapa hari dia tidak menjamah makanan. Mama cuba mengorek cerita. Bertanyakan latar belakang dia. Menurutnya, dia disuruh untuk meminta sedekah. Dan seandainya tiada sebarang hasil yang dibawa pulang, atau hasilnya tidak mencapai target yang ditetapkan, maka dia tidak diberi makan. Berlaparlah dia seharian sementara menanti hari esok. Mendengarkan cerita mama, rasa simpatiku tidak dapat dibendung-bendung lagi. Sungguh kasihannya mereka. Sudahlah penat berdiri seharian dari pagi ke malam, wang yang diberi orang ramai untuk dia menyara diri diambil pihak tak berhati perut, makanan pula tidak diberikan. Itu belum cerita kemungkinan dia dipukul dan sebagainya.

Anganku segera terhenti apabila terdengar seorang pakcik memarahi anak lelaki yang meminta sedekah di depan pintu tadi. "Kamu tu masih muda, tubuh masih sihat, buat apa minta sedekah? Usaha sikit, pergi cari kerja yang halal" keras sungguh suara pakcik itu. Aku menggelengkan kepala. Sungguh aku faham niat pakcik itu ingin menyedarkan, tapi pakcik itu terlupa satu perkara, kehidupan setiap insan tidak sama. Apa yang pakcik itu tidak nampak adalah kemungkinan-kemungkinan anak-anak kecil yang memintah sedekah seperti anak lelaki itu dipaksa oleh sindiket-sindiket tertentu, yang mana nasib mereka bergantung kepada hasil meminta sedekah itu. Ya aku akui anak lelaki itu tampak sihat badannya, tetapi sebagai dewasa kita harus mendalami situasi ini. Walau tampak sesihat manapun fizikal dia, dia masih tidak mampu melawan tenaga lelaki dewasa, lebih-lebih lagi lelaki dewasa yang ramai bilangannya. Aku percaya, bukan sekali dua perkataan 'KERJA' itu terlintas di akalnya. Mungkin dia sendiri pernah cuba berusaha untuk lari dari dunia yang memaksa dia meminta sedekah, tapi dikekang dan dihalang oleh mereka-mereka yang berhati durjana. Mungkin dia dikecam akan dibunuh sekiranya dia melarikan diri. Mungkin juga dia diugut akan dibunuh adiknya jika dia melarikan diri. Dan tidak mustahil juga dia dikawal rapi oleh sindiket - sindiket berhati syaitan ini. Lantas pilihan apa yang dia ada wahai pakcik? Pernahkah kau cuba dalami isi hati dia sendiri? Pernahkah kau cuba memahami gelora jiwanya yang tersepit, yang terhimpit? Aku lihat anak lelaki itu hanya diam memandang tanah, dan sekali lagi simpati aku tercurah padanya.

Mungkin akan ada yang berkata, "Mengapa tidak dia laporkan kepada polis jika benar dia diperlaku seperti itu" Biar aku menjawab bagi pihak mereka. Bagaimana mungkin dia melaporkan sekiranya pergerakannya sentiasa diawasi? Mungkin akan ada yang mempersoalkan, "Jika begitu, mengapa pula kamu tidak melaporkannya kepada polis bagi pihak mereka?" Nah sekarang katakan padaku, bagaimana bisa aku melaporkan, umurku juga masih belasan ketika itu, mungkin aduan yang ku buat dipandang enteng dan sepi, dan aku sendiri cetek ilmu tentang bagaimana dan kepada siapa harus aku laporkan hal seperti itu diwaktu umurku muda begitu. Apa yang mampu aku lakukan di waktu itu hanyalah menghulurkan sedikit wang sumbangan dengan harapan wang itu dapat membantu dia mendapatkan makanan, dan mengelakkan dia dari dipukul atau sebagainya.

Kisah ini masih dapat ku ingati sehingga kini, walaupun sekarang sudah jarang aku berjumpa si peminta cilik ini, aku masih berharap agar sindiket yang meperdagangkan manusia ini berjaya ditumpaskan pihak berkuasa secara total suatu hari nanti. Kepada kawan-kawan, aku seru, seandainya kamu menjumpai si cilik yang meminta sedekah, hulurkanlah sedikit sumbangan kepada mereka, bukan untuk menggalakkan amalan ini, tetapi niatlah untuk membantu menyelamatkan mereka daripada sebarang perkara yang memudaratkan mereka kelak. Dan jika kamu mampu, bantulah mereka dengan melaporkan kepada polis atau pihak yang berkenaan. Janganlah diherdik, dimarah mereka kerana kita sendiri tidak mengetahui kisah yang mendorong mereka meminta sedekah.

Akhir kata, awasilah ahli keluargamu, bersangka baiklah sesama manusia dan bersedekahlah kepada yang kurang mampu. Moga-moga amalan kita diterima ALLAH dan dapat membantu kita kelak. InsyaALLAH.. :)